Kenapa anaktani bercerita pasal padi??Sebabnya ialah anaktani adalah anak seorang petani & padi/beras adalah makanan utama kita..Apa yang anaktani cerita kan di sini adalah penanaman padi secara tradisional di zaman nenek moyang anaktani..masa zaman bapa anaktani teknologi dah semakin maju & kebanyakan petani menggunakan pelbagai mesin utk membantu mereka...
Artikel di bawah boleh membantu anda mengetahui sejarah nenek moyang kita menanam dan menuai padi secara tradisional.Berbeza dengan penanaman padi secara moden pada masa sekarang yang lebih menggunakan teknologi mesin tetapi aplikasinya tetap sama yang berbeza cuma peralatan yang digunakan.
Sistem Penanaman Padi Tradisional
Sistem penanaman padi secara tradisional di Negeri Kedah dapat di kelaskan kepada dua musim iaitu:
1) Musim Bersawah
2) Musim Menuai
Masyarakat petani tradisional mula turun ke sawah apabila tibanya musim hujan. Ketika ini mereka akan sibuk menyiapkan segala kelengkapan yang berkaitan dengan persawahan dan juga memastikan petak-petak sawah mereka di takungi air hujan secukupnya.
Dalam mengerjakan sawah, peralatan persawahan tradisional seperti tenggala, penyisir (sisir), cangkul, tajak, tenggiling dan lain-lain digunakan. Antara kerja-kerja yang dilakukan ketika musim bersawah adalah penyediaan tapak(petak) semaian,penyedian benih padi, penyediaan petak tanaman, memindahkan benih padi dari tapak semaian ke petak tanaman padi(proses penanaman) dan penjagaan padi.
1. Penyediaan Tapak (Petak) Semaian
Setelah siap segala peralatan yang diperlukan, para petani akan turun beramai-ramai ke sawah masing- masing untuk memulakan kerja-kerja seperti menggala (membajak) dan membersih petak-petak sawah untuk dijadikan tapak semaian. Tapak semaian merupakan tempat menyemai benih-benih padi untuk dijadikan semai (anak padi sebelum dipindah/ditanam di dalam petak-petak sawah yang disediakan).
Penyediaan tapak sawah memerlukan penelitian yang rapi. Tanahnya mestilah betul-betul lembut dan bersih daripada sebarang jenis tumbuhan air di dalamnya. Bagi merata dan melincinkan permukaaan tanahnya, sejenis alat yang di namakan "Pembadai" digunakan. Pembadai ini kebiasaannya ialah sebatang pokok pisang yang dipotong mengikut keperluan dan dibuang kulitnya dan kemudian ditarik dengan penyisir kecil (sisir kapar). Keadaan tanah yang lembut akan memudahkan kerja-kerja mencabut semai.
 |
Penyediaan Petak Semaian (Bekas Semai)
Kerja-kerja penyediaan petak semaian (bekas semai) sedang dijalankan.Petak semai merupakan tempat pembiakan benih padi untuk dijadikan semai (anak padi) sebelum dipindahkan ke petak sawah yang disediakan. |
 |
Sisir Kapar
|
 |
Tajak yang digunakan untuk membersihkan rumput pada batas-batas petak sawah dan juga di tapak semaian. |
 |
Alat teknologi persawahan tradisional yang digunakan selepas kerja-kerja menggala (bajak) sawah bertujuan untuk menghalus, merata dan memecah ketulan-ketulan tanah serta membersihkannya dari rumput rampai. |
 |
Alat teknologi persawahan tradisional yang digunakan untuk menggala (bajak) sawah dengan ditarik oleh seekor kerbau. |
 |
Keri, Tajak dan Sisir Kapar
Keri dan Tajak digunakan untuk menajak tanah supaya batas sawah menjadi rata. Manakala sisir kapar digunakan untuk mencakar tanah supaya menjadi lebih rata. |
 |
Tenggala Untuk membajak sawah
Diperbuat daripada kayu halban jenis keras. Alat ini terbahagi kepada dua iaitu Tenggala Perlis dan Tenggala Cina. Tenggala-tenggala ini ditarik oleh seekor kerbau dan ada yang ditarik oleh dua ekor kerbau atau lembu. |
 |
Penimba Air
Diperbuat daripada tong minyak dan berhulukan kayu panjang serta berkaki tiga. Ia akan digunakan untuk menimba air masuk ke dalam petak semaian. |
 |
Sabit
Untuk memotong rumput-rumput yang tumbuh di atas batas sawah. Sabit ini diperbuat daripada besi. |
 |
Bakul Mengkuang
Digunakan untuk membawa biji benih padi ke tapak semaian semasa hendak menabur.Ia diperbuat daripada mengkuang yang dianyam rapi. Bagi peladang-peladang, bekas-bekas lain seperti tin tidak boleh digunakan untuk mengisi benih oleh kerana dipercayai boleh menghilangkan semangat padi.
2. Penyediaan Benih Padi
Benih padi yang terpilih akan diisi ke dalam guni (karung), kemudian direndam ke dalam air selama 3 hari 3 malam. Selepas direndam, benih padi tersebut diangkat dan disejat ke dalam bakul yang jarang disebut sebagai "bakul lau", kemudian ditutup dengan guni dan dibiarkan selama 3 hari 3 malam untuk proses percambahan mata tunas dan akar. Setelah benih tersebut bercambah, ianya terus ditaburkan ke dalam petak-petak semaian yang disediakan dan dibiarkan tumbuh menjadi semai (anak padi) selama jangka masanya 30 hingga 44 hari untuk tempoh cukup matangnya. Kebiasaannya 44 hari.
3. Penyediaan Tapak (Petak) Penanaman
Sementara menantikan anak padi (semai) cukup tempoh matang, petani-petani akan terus menjalankan kerja-kerja membajak dan membersihkan petak-petak sawah. Kerja-kerja yang seringkali dilakukan oleh mereka ialah:
1. Menggala (Membajak) Sawah
Peralatan persawahan tradisional yang digunakan ialah tenggala. Biasanya tenggala ini dibuat daripada kayu-kayu terpilih yang senang dibentuk iaitu lazimnya kayu halban. Dalam menjalankan kerja-kerja ini selalunya tenaga kerbau digunakan tetapi ada ketikanya tenaga lembu digunakan. Biasanya kerja-kerja yang dijalankan dengan kuasa lembu memerlukan 2 ekor lembu kerana tenaga lembu tidak sekuat tenaga kerbau. Fungsi alat tenggala ini ialah untuk membalik-balikkan tanah sawah.
2. Menyisir (Sisir)
Setelah selesai kerja-kerja menggala (membajak), ketulan-ketulan tanah semasa menggala akan dibiarkan selama beberapa hari berendam air, bertujuan untuk melembutkannya. Untuk menghalus, merata dan memecahkan ketulan-ketulan tanah serta membersihkannya daripada rumput rampai, sejenis alat persawahan tradisional yang disebut sebagai penyisir atau sisir digunakan. Ada tiga jenis penyisir iaitu:
Penyisir Kayu
Penyisir ini dibuat daripada kayu cengal, halban atau kayu beruas dan mata atau giginya dibuat daripada batang pokok pinang atau pokok nibong yang diraut halus.
Penyisir Besi
Penyisir ini berbentuk serupa dengan penyisir kayu. Ianya diperbuat daripada besi semuanya kecuali pemegangnya sahaja dibuat daripada kayu.
Penyisir Kapar / Sisir Kapar
Penyisir ini berbentuk T. Ianya dibuat daripada kayu dan matanya daripada batang nibong atau pinang.
|
3. Menggiling Tanah
Kaedah ini merupakan peringkat terakhir dalam penyediaan petak-petak sawah. Alat yang digunakan ialah tenggiling. Ianya diperbuat daripada batang kayu yang dipotong mengikut keperluan dan berbentuk seperti belimbing segi. Tenggiling ini terbahagi kepada dua jenis iaitu "Tenggiling Belangkas" dan "Tenggiling Belimbing". Cara penggunaannya sama seperti kerja-kerja menggala (membajak) dan menyisir kerana kerbau digunakan untuk menariknya. Kegunaannya ialah untuk meratakan tanah sawah dan melembutkannya bagi memudahkan kerja-kerja penanaman padi dijalankan.
Setelah selesai semua kerja-kerja seperti menggala (membajak), menyisir (sisir) dan menggiling, air akan ditakung semula dalam petak-petak sawah untuk proses penanaman padi.
 |
Menggala (Membajak Sawah)
Kerja-kerja mengggala (bajak) sawah sedang dilakukan oleh seorang petani dengan menggunakan tenggala yang ditarik oleh seekor kerbau. |
 |
Kerbau
Boleh dianggap sebagai jentera dalam proses membajak sawah. Ia akan bertindak sebagai penarik tenggala. |
 |
Sisir Besi
Peranan dan fungsinya seperti sisir kayu iaitu untuk menghalus, merata dan memecah ketulan-ketulan tanah serta membersihkannya daripada rumput rampai. |

 |
Sisir Kapar
Untuk menarik kapar di dalam petak sawah. Kebiasaannya, peralatan ini digunakan untuk menarik kapar di tempat-tempat yang tidak boleh dimasuki oleh kerbau. Tempat-tempat tersebut ialah kawasan dalam dan penjuru petak sawah. Sisir kapar lebih kecil daripada sisir besar. Selain membuang kapar ia juga dapat meratakan tanah sawah. |
 |
Tenggiling
Untuk memecahkan tanah yang berketul dan meratakan tanah selepas disisir. Proses meratakan tanah belum begitu baik tanpa menggunakan tenggiling. |
 |
Diperbuat daripada kayu yang berbentuk seperti belimbing segi. Panjangnya antara 5 hingga 7 kaki dan bergaris pusatnya 6 inci. Kerbau diperlukan untuk menjalankan Tenggiling. |
4. Memindahkan Anak Padi (Semai) Dari Tapak Semaian
Anak padi (semai) yang sudah cukup umur (tempoh) akan dicabut dan dijadikan "Cap" atau "unti" (ketul). Biasanya kerja-kerja ini dilakukan oleh kaum wanita secara berderau (gotong-royong). Semai-semai yang telah siap dijadikan ketul akan dipindah (angkut) ke petak-petak sawah oleh kaum lelaki dengan menggunakan pengandar/salang yang diperbuat daripada buluh atau ditarik menggunakan palung (sampan kecil). Ketul-ketul semai akan diatur di petak-petak sawah bagi memudahkan kerja-kerja menanam padi dijalankan.
 |
Mencabut Semai
Kerja-kerja mencabut semai sedang dilakukan oleh kaum wanita |
 |
Semai-semai
Semai-semai yang telah diketulkan di himpun, kemudian diangkat ke petak-petak sawah yang disediakan untuk proses menanam padi |
 |
Pengandar semai
Alat teknologi persawahan tradisional ini digunakan untuk mengangkut/memindahkan ketul-ketul semai dari petak semaian ke petak-petak sawah untuk ditanam. Alat ini juga dikenali sebagai pengandar rumput |
 |
Pengandar Semai
Pengandar akan digunakan untuk mengangkut semai dari tapak semaian ke sawah. Selalunya ia diperbuat daripada batang kayu yang keras. |
5. Menanam Padi
Kerja-kerja ini dijalankan oleh kaum wanita secara berderau (gotong royong). Dalam proses ini anak padi (semai) yang cukup tempoh matang akan dipindahkan ke dalam petak-petak sawah yang disediakan. Cara penanamannya dijalankan dengan empat atau lima jalur yang dipanggil "tekap". Kerja-kerja menanam padi ini dijalankan dengan menggunakan tangan atau "Kuku" Kambing iaitu sejenis alat yang pemegangnya diperbuat daripada kayu. Manakala hujungnya daripada besi yang dicabangkan sedikit untuk memudahkan semai diletak sebelum ditanam ke tanah
 |
Menanam padi
Kerja-kerja menanam padi dengan menggunakan tangan sedang dijalankan |
 |
Menanam Padi
Menanam padi cara lama dilakukan oleh kaum wanita dengan menggunakan alat Kuku Kambing |
 |
Kuku Kambing
Ia digunakan untuk menanam padi. Diperbuat daripada besi dan berhulukan kayu. Sementara di bahagian hujung besi terdapat cabang seperti kuku kambing. |
 |
Terendak
Digunakan sebagai tudung kepala sewaktu bekerja di sawah untuk berlindung daripada cahaya matahari
Diperbuat daripada buluh yang disulam begitu menarik sekali. Biasanya dipakai oleh wanita. |
4. Penjagaan Padi
Kerja-kerja ini meliputi membaja, merumput, menyulam (menggantikan anak padi yang mati), penjagaan air dan serangan penyakit padi, tikus dan burung. Kerja-kerja ini dijalankan berterusan sehinggalah padi masak. "Orang-orang" atau "Selayut" akan dipacak di tepi-tepi sawah bertujuan untuk menakutkan binatang seperti tikus dan burung daripada memusnahkan padi yang telah masak.
 |
Menjaga Padi
Kerja-kerja penjagaan padi sedang dilakukan. |
 |
Menyulam Anak Padi
Kerja-kerja menyulam (mengganti) anak padi sedang dijalankan. |
Musim Menuai
Dalam masyarakat petani tradisional, musim ini dikenali juga sebagai musim mengerat atau mengiau. Musim ini kebiasaannya jatuh pada musim kemarau. Bagi mendapatkan hasil padi, beberapa kaedah tradisi telah digunakan seperti mengetam, mengiau dan mengerat. Kaedah ini merupakan satu proses untuk mendapatkan buah padi. Kerja-kerja ini dijalankan oleh kaum wanita secara berderau (gotong-royong).Selepas kerja-kerja mengetam, mengiau dan mengerat dilakukan, proses seterusnya ialah menghirik(mengirik) padi iaitu proses meleraikan buah padi dari tangkainya, mengangkut padi, menghuroi, menyimpan dan akhir sekali menghasilkan beras.
Mengerat/Mengiau
1. Mengetam
Kaedah ini menggunakan sejenis alat yang dibuat daripada kayu dan mempunyai mata di atasnya yang dikenali sebagai "renggam". Alat ini digunakan untuk memotong tangkai padi yang masak untuk dijadikan gemai (gemal) padi.
 |
Renggam
Diperbuat daripada besi dan berhulukan kayu. Ia akan digunakan untuk mengetam buah padi yang akan dijadikan benih. |
 |
Gemai (Gemal) padi
Tangkai-tangkai padi diketam akan dihimpun dan dijadikan gemai. Gambar menunjukkan kerja-kerja membuat gemai-gemai padi sedang dilakukan. |
 |
Mengetam padi
Kerja-kerja mengetam padi sedang dijalankan |
2. Mengiau padi
Kaedah ini dijalankan dengan menggunakan "pisau pengiau". Teknik penggunaannya sama seperti mengetam iaitu memotong tangkai (tengkok) pokok padi. Kaedah ini seringkali dilakukan ke atas pokok padi yang rebah.
 |
Pengiau
Hulunya diperbuat daripada ranting kayu yang bengkok dan melengkung manakala mata pisau mengerat dipasak masuk ke ranting tersebut . Ia akan digunakan untuk menuai padi yang berkeadaan rebah |
 |
Cekam
Ia diperbuat daripada ranting kayu yang bercabang dan diasah tajam. Ia juga digunakan untuk mengangkat pokok padi yang rebah sebelum proses menuai.
 |
Cara-cara menggunakan cekam |
|
3. Mengerat/Memotong Padi
Kaedah ini dijalankan dengan menggunakan pisau mengerat. Batang pokok padi akan dipotong dan kemudiannya dihimpun untuk dijadikan "kedap".
 |
Mengerat padi
Kerja-kerja mengerat padi sedang dijalankan
|
 |
Pisau mengerat
Diperbuat daripada besi dan matanya bergerigi serta berhulukan kayu. Bentuknya melengkung seperti huruf C dan ia digunakan untuk mengerat padi. |
Menghirik (Mengirik)
Proses ini merupakan satu kaedah tradisional untuk meleraikan buah padi daripada tangkainya. Kerja-kerja ini dijalankan setelah selesai kerja-kerja mengetam dan mengiau padi dijalankan. Terdapat beberapa cara yang digunakan. Antaranya:
1. Menggunakan Kayu (Dong)
Ianya diperbuat daripada kayu dan berbentuk melengkung. Mengikut kaedah ini, gemai-gemai padi akan dilonggokkan di atas tikar pada satu tempat. Kemudian para petani secara beramai-ramai akan memukul gemai-gemai tersebut dengan "dong" sehinggalah buah padi terlerai. Di samping itu terdapat juga di setengah-setengah tempat kaum wanita melakukan kerja-kerja ini dengan menggunakan kaki. Kesimpulannya walau apa kaedah yang digunakan adalah bertujuan untuk meleraikan buah padi daripada tangkainya
 |
Dong
Alat ini digunakan semasa kerja-kerja menghirik (mengirik) dijalankan bertujuan untuk meleraikan buah padi daripada tangkai. |
2. Menggunakan Kerbau
Kaedah ini digunakan sekiranya petani-petani mempunyai bilangan petak-petak sawah yang banyak. Lazimnya kerja-kerja ini dijalankan pada waktu malam hingga ke dinihari secara gotong royong (berderau). Mengikut kaedah ini, gemai-gemai padi akan dihimpun dan diletakkan di atas tikar dan selepas itu kerbau tersebut akan berjalan berulangkali di atasnya sehinggalah buah padi terlerai.
3. Memukul (Membanting) Padi
Proses ini juga merupakan satu kaedah untuk memisahkan buah padi daripada tangkainya. Dalam proses ini sebuah tong padi yang di lengkapi dengan sehelai layar yang diperbuat daripada tikar dan sebuah tangga kecil di dalamnya berserta dengan kayu (buloh) yang mencekangkan layar yang di kenali sebagai "turus layar" akan digunakan. Kedap-kedap padi akan dipukul ke dalam tong padi dan buah padi akan terlerai masuk dan terhimpun di dalam tong tersebut. Buah padi kemudiannya akan diisikan ke dalam guni (karung).
 |
Tong padi dan Layar digunakan untuk memukul padi |
 |
Kedap padi
Gambar ini menunjukkan kedap-kedap padi diikat sebelum dipukul ke dalam tong. |
 |
Memukul padi
Kerja-kerja memukul padi sedang dijalankan |
Mengangkut Padi
Buah-buah padi yang telah diisi ke dalam guni kemudiannya akan diangkut dengan menggunakan "anok" atau kereta kerbau. Kedua-dua jenis alat pengangkutan ini menggunakan tenaga kerbau untuk menariknya.
 |
Anor (Anok) dan Kereta Kerbau
Merupakan alat pengangkutan padi yang digunakan dengan bantuan tenaga kerbau untuk membawa hasil padi ke rumah
Menghuroi (Menguroi)
Alat yang digunakan untuk proses ini ialah nyiru jarang yang diikat (gantung) pada tiga batang buluh sebagai penyangga untuk berdiri. Proses ini dijalankan bertujuan untuk membersihkan buah padi daripada daun-daun padi kering (kambu) dan hampa bagi mendapatkan buah padi yang bersih. Proses ini dijalankan di kawasan tanah lapang dengan menggunakan bantuan angin. Buah padi yang telah siap dihuroi akan dijemur sehingga betul-betul kering supaya tidak rosak semasa disimpan.
|
 |
Menghuroi padi
Kerja-kerja menghuroi padi sedang dijalankan |
 |
Nyiru Jarang
Ia juga merupakan anyaman buluh tetapi jarang dan mempunyai kaki yang bercabang tiga. Nyiru jarang digunakan untuk membersihkan padi. |
 |
Menjemur padi
Padi-padi yang telah dibersihkan (dihuroi) akan dijemur sehingga kering sebelum disimpan di dalam jelapang padi. |
 |
Cakar Bara
Diperbuat daripada kayu dan ia digunakan untuk mencakar padi dijemuran. |
 |
Menganginkan padi dengan menggunakan Nyiru Kerap bagi mengasingkan padi berisi dengan hampa padi. |
 |
Nyiru Kerap
Digunakan untuk menampi padi bagi mengeluarkan hampa padi. |
 |
Kipas Pengangin Dan Penguroi Padi
Untuk mengasingkan antara hampa dengan padi yang elok untuk dibuat benih. |
Menyimpan Padi
Buah-buah padi yang telah kering dan bersih kemudiannya akan diisikan atau diangkut ke dalam bekas padi (jelapang) manakala gemai-gemai padi pula akan diisi ke dalam kepok (kerubung) yang diperbuat daripada buluh yang selalunya di letakkan berhampiran bekas padi.
 |
Jelapang Padi
Alat ini digunakan untuk menyimpan buah-buah padi yang telah dibersihkan (dihuroi) |
 |
Kepok
Alat ini berbentuk bulat. Dibuat daripada buluh. Ianya digunakan untuk menyimpan ketul-ketul padi (gemai padi) |
Penghasilan Beras
Penghasilan beras secara tradisional dijalankan dengan menggunakan lesung hindik (lesung kaki), lesung tangan, pengisar dan penampi padi.
 |
Lesung hindik kaki dan lesung tangan
Alat-alat ini digunakan untuk menumbuk buah padi bagi menghasilkan beras. Beras yang dihasilkan bercampur dengan antah , sekam dan lain-lain. |
 |
Proses menumbuk padi dengan lesung tangan |
 |
Lesung Kisar
Untuk Mengisar padi. Diperbuat daripada buluh atau kayu. Raga buluh dibuat untuk mengisi tanah busut yang telah dicampur garam dan dihentak dengan kuat untuk menahan mata pengisar. Mata pengisar daripada kayu bakau dibelah nipis lebih kurang 3-4 mm. Panjang mata pengisar lebih kurang 4 inci (10 cm). |
Menampi
Beras yang telah siap ditumbuk atau dihasilkan melalui proses penghasilan beras tradisi kemudiannya ditampi dengan menggunakan sejenis alat penampi yang dikenali sebagai "nyiru telor buaya" yang diperbuat daripada buluh untuk mengasingkan antah, sekam dan dedak beras bagi menghasilkan beras bersih.
 |
Penampi Padi
Penggunaan alat ini bertujuan untuk memisahkan biji beras dari kulitnya selepas ditumbuk dan dikisar setelah memusingkan kipas di dalamnya. Angin yang dihasilkan melalui kipas tersebut akan menerbangkan kulit biji padi yang lebih ringan dari biji beras. Disinilah wujud proses pengasingan di mana biji beras akan keluar daripada corong pertama (besar) manakala kulitnya keluar melalui corong kedua (kecil) |
 |
Menampi
Selain menggunakan kaedah mesin menampi padi, padi yang telah ditumbuk dan dikisar juga boleh dipisahkan biji beras dan kulit dengan kaedah menampi menggunakan nyiru atau badang yang diperbuat daripada buluh dan berbentuk bulat. Melalui kaedah ini kulit biji padi akan keluar dan yang tinggal di dalam nyiru tersebut ialah beras.
Ringkasan:
Antara Bahasa Yang Digunakan Oleh Petani Dengan Kerbau Semasa Mengerjakan Sawah Padi
- Ha'ih - Maknanya menyuruh kerbau berjalan
- Chah - Maknanya menyuruh kerbau ke arah kanan
- Sok - Maknanya menyuruh kerbau kearah kiri
- Diam - Maknanya menyuruh kerbau berhenti
- Serot - Maknanya menyuruh kerbau undur ke belakang
- Paling Chah - Maknanya menyuruh kerbau pusing ke kanan
- Paling Sok - Maknanya menyuruh kerbau pusing ke kiri
Peralatan-Peralatan Tradisional Tanaman Padi
A. Alat-alat Untuk Tanaman Padi
Tenggala Perlis dan Tenggala Chin
Kuku Kambing
Cangkul
Tajak
Sisir Besi
Sisir Panjang (Sisir Kapar)
Palong
Tenggiling
Terendak
Pencakar/Pencakar Bara
B. Alat-alat Untuk Menuai/Selepas Menuai
Tong Pukul Padi, Tangga dan Layar
Ketam (Renggam)
Sabit (Berbagai Jenis)
C. Alat Proses Padi
Pengangin Padi/Tikar Mengkuang
Guni/Tali/Jarum
Lesong Tangan/Halu
Lesong Kaki/Hindik
Nyiru Penampi Padi/Penampi Beras
Pengisar Beras
D. Alat Penyimpanan Padi/Beras
Kepok/Jelapang Padi
Berbagai jenis Gebok
Berbagai jenis Tempayan
E. Alat Pengangkutan Padi
Pengangkutan darat:
Basikal
Beca
Kereta Tolak
Bakul Junjung
Anok
Kandar
Kereta Lembu
Pengangkutan Air:
Sampan/Perahu kecil
F. Alat Penyimpanan/Sukat Padi dan Beras
Kepoi
Pikul
Kilo
Kati
Gantang
Cupak
Leng
Kopi
|
Peralatan ini digunakan untuk menyukat padi atau beras